May 17, 2011

Terapi Solat


Bismillahir rahmaanir rahiim...

Solat sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam. Hasil kajian saintifik oleh tiga pensyarah Universiti Malaya dari Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam sebanyak lima kali setiap hari ini, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia. 

Penggerak kajian ini ialah mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM). Matlamat kajian adalah menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.


MANFAAT GERAKAN DALAM SOLAT

Takbiratul ihram 
Semasa meletakkan tangan di antara dada dan pusat selepas takbiratul ihram, posisi tangan pada waktu itu adalah dalam keadaan rehat yang maksimum dan mampu melancarkan pergerakan sendi dan mengelakkan penyakit sendi. 

Rukuk 
Posisi 90 darjah seperti yang disarankan oleh Rasulullah mampu menyembuhkan penyakit berkaitan tulang belakang dan melegakan sakit pinggang. 

I‘tidal selepas rukuk
Keadaan berdiri seketika sebelum sujud adalah peringkat paling tenang ketika bersolat. 

Sujud 
Lutut perlulah diletakkan terlebih dahulu diikuti tangan dan kepala dalam kedudukan sujud. Kedudukan begini adalah cara terbaik menjadikan otot besar dan kuat dan membantu melancarkan pengaliran darah dan limpa ke seluruh anggota badan. 
Jantung berdenyut dengan kadar paling rendah semasa posisi sujud, iaitu sebanyak 72 dan 73 denyutan seminit. Lebih banyak bersujud, maka seseorang dapat mengurangkan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan darah. 

Duduk tahiyyat akhir 
Apabila seseorang duduk pada tahiyat akhir, kadar denyutan jantung meningkat semula dan ia mengepam darah ke bahagian atas badan serta kepala. Secara tidak langsung, jumlah darah yang diperlukan juga meningkat. 

LAGI INFO MENARIK

1) Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang

2) Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud. Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah

3) Solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak. Sehubungan itu, solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapi dalam aktiviti harian. 

4) Solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang amat takuti lelaki. Terapi adalah dilakukan dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit 

5) Terapi solat dipercayai berpotensi merawat penyakit jantung. Pakar jantung gembira dengan hasil kajian ini kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari. 

6) Orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian. 
Apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh. 
Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif. Hal ni yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang. 

7) Solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan. 
Sebelum Ramadan bermula, komposisi badan diukur. Selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol berkurang akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukosa yang semakin rendah

8) Hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan dan manusia akan mencapai kecergasan dan kesihatan yang terbaik semasa bersolat. 

**Para penyelidik berkenaan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu. Antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama. Kajian tersebut adalah bertujuan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat; adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana menjangka ulama lebih memahami bahasa al-Quran. 

Sumber: 


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud 
" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin.." (Riwayat Muslim)


~menuju cintaNya~

No comments:

Post a Comment