husnuzzan |
Bersangka baik atau dalam istilah arab `husnuzzan' terhadap sesama makhlukNya adalah sangat dituntut dalam Islam.
Kenapa kita perlu bersangka baik terhadap semua orang? Mari kita teliti sebab-sebab berikut (sumber dari pelbagai blog dan juga pendapat peribadi PM):
1) Anjuran Islam untuk berbaik sangka dan mengasihi sesama manusia.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani." (Al-Hujurat:12),
malah Rasulullah saw juga ada berpesan:
“Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta.” (Riwayat Muttafaqun alaihi)
2) Mengelakkan permusuhan sesama keluarga dan sahabat handai.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Al-Hujuraat: 6),
dan
“Dan orang-orang yang menyakiti orang lelaki dan perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata”. (Al-Ahzab 58)
3) Niat seseorang melakukan sesuatu tidak diketahui melainkan oleh Allah swt.
Sheikh Abdur Razzaq ra telah meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Utbah bin Mas’ud katanya: Aku dengar ‘Umar bin Al-Khattab ra berkata: “Bahawa sesungguhnya manusia pada zaman Rasulullah saw diberi penjelasan dengan wahyu dan wahyu telah terputus, kita sekarang hanya boleh mengambil kira perbuatan yang zahir daripada amalan kamu, sesiapa yang menzahirkan kepada kami kebaikan kami akan percaya dan dekat dengannya, tidak ada hak bagi kami mencampuri perkara yang tersembunyi, Allah akan menghisabnya. Sebaliknya sesiapa yang menzahirkan kejahatan kami tidak akan mempercayai dan membenarkannya, walaupun dia berkata niatnya baik”.
4) Bersangka baik memberi rangsangan positif pada minda dan tubuh badan, manakala bersangka buruk adalah sebaliknya.
Law of Attraction atau Hukum Tarikan menyatakan bahawa suatu cetusan fikiran akan menarik cetusan fikiran lain yang sama dengannya, atau dengan kata lainnya bermaksud `Fikiran Menjadi Kenyataan'. Jika hal-hal positif yang kita fikirkan maka hal-hal positiflah yang akan menghiasi sekeliling kita. Firman Allah swt dalam hadis Qudsi: "Aku akan bersama sangkaan hambaKu padaKu, maka hendaklah ia bersangka dengan apa yang ia inginkan."
5)Setiap orang berpeluang untuk jadi lebih baik, maka kita hendaklah memberinya peluang itu.
“Maka Kami telah memberi petunjuk (kepada)-nya (manusia) dua jalan mendaki (baik dan buruk)” (Al-Balad:10)
dan
“...dan (demi) jiwa dan penyempurnaan ciptaannya, maka Allah mengilhamkan (jiwa manusia) kederhakaan dan ketaqwaan." (As-Syams:7-8)
Para ulama menafsirkan, kebajikan lebih dahulu menghiasi diri manusia daripada kejahatan, dan bahawa manusia pada dasarnya cenderung kepada kebajikan.
6)Tak semua orang sedar akan kesilapan yang dilakukannya, bolehjadi seseorang itu melakukan kesalahan tanpa disengajakan. Oleh itu, selagi boleh, kita hendaklah sentiasa berusaha bersangka baik dalam apa jua keadaan.
Kata Saidina ‘Umar bin Al-Khattab ra: “Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik”.
7) Semua manusia tidak sama. Setiap orang mempunyai pandangan dan cara fikir yang berbeza. Mereka unik dan kitalah yang perlu meneroka keunikan mereka.
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya." (Surah al-Hujurat: 13)
8) Sekalipun insan berbuat dosa kepada kita, kita tidak layak menghukum mereka, tugas kita adalah memaafkan mereka. Hanya Allah sebaik-baik penghukum.
“...dan Dia (Allah) adalah sebaik-baik al-Hakim (Penghukum) antara yang menghukum.” (Yusuf:80)
~menuju cintaNya~
Nasihat Syeikh Abdul Kadir Al-Jailani.
ReplyDeleteBerikut adalah tips dari Syeikh Abdulkadir Al Jailani untuk sentiasa bersangka baik sesama manusia.
Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Fikirkan bahawa: "Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku".
Jika bertemu anak kecil, fikirkan bahawa:
"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku"..
Jika bertemu orang tua, fikirkan bahawa:
"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."
Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, fikirkan bahawa:
"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."
Jika bertemu dengan seorang yang jahil, fikirkan bahawa:
"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia jahil (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku."
Jika bertemu dengan orang kafir, fikirkan bahawa:
"Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk."
snm:salam akak nk minta izin masuk dlm pena jumaat ye...
ReplyDeletesalam wbt. boleh2...gumbire sgt2 if pembaca rase ia bermanfaat ;)
ReplyDelete