Bismillahir rahmaanir rahiim...
Cinta merupakan perasaan kasih sayang dan belas kasih yang mendalam terhadap sesuatu. Rasa cinta boleh terjadi antara manusia dengan benda atau harta, sesama manusia, sesuatu perkara atau pencapaian. Namun, cinta yang teragung adalah cinta yang di salurkan kepada Allah dan rasulNya.
Firman Allah dalam surah At-Taubah: 24 yang bermaksud:-
“Katakanlah (wahai Muhammad): `Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).’”
dan dalam surah Hud: 90 yang bermaksud:-
“Dan mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengasihani, lagi Maha Pengasih".
Allah tidak akan menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Segala yang diturunkan oleh Allah swt ke dalam hati-hati manusia mempunyai faedah yang adakalanya tidak tercapai oleh tahap analitik manusia untuk membaca fungsi dan peranannya.
Firman Allah dalam surah Saad: 27 yang bermaksud.
“Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu dari azab neraka.”
Maka, rasa cinta yang diterbitkan di dalam hati manusia pasti mempunyai agenda yang tertentu untuk kemaslahatan manusia sejagat.
Fenomena cinta sesama insan merupakan curahan antara nikmat dan bencana kepada seseorang. Sesuatu perkara yang indah tidak akan dapat dikelaskan sebagai indah tanpa pasangannya iaitu musibah. Sama seperti indahnya berbuka puasa. Sesorang itu tidak akan merasa indahnya makan tanpa rasa lapar. Tanpa musibah cinta sesama insan, manusia tidak akan dapat menganggar dan seterusnya menghargai betapa hebatnya kasih Allah yang Maha Pengasih kepada sekalian hambaNya.
Seseorang yang terkena panahan cinta sesama insan perlu sentiasa bermuhasabah dengan membandingkan perasaan cintanya dan memikirkan betapa hebatnya kasih sayang Allah yang Maha Pengasih, Raja Segala Pencinta. Orang yang terkena panahan cinta pasti akan mengalami kekecewahan mendalam sekiranya cintanya tidak dibalas. Justeru, dengan adanya ilmu tentang perasaan cinta sesama manusia itu, pastinya mereka dapat menjaga sikap mereka terhadap kasih sayang Allah swt yang teragung.
Diriwayatkan daripada Anas r.a, katanya: Nabi s.a.w bersabda:
“Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperoleh kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain kedua-duanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya daripada kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam neraka.”
(Riwayat Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Nasaie)
Cinta sesama manusia tidak terhad kepada cinta berlainan gender. Malahan juga diperluas dengan cinta sesama sahabat. Seperti hebatnya persahabatan Rasulullah s.a.w dengan Saidina Abu Bakar As Siddiq yang digambarkan menerusi peristiwa Hijrah. Rasullullah saw bersembunyi di Gua Thur setelah diburu oleh musyrikin Mekah. Di dalam gua yang penuh lubang itu, Abu Bakar telah terpandang seekor ular keluar dari lubang berhampiran tempat Rasulullah tidur. Beliau lantas menutup lubang tersebut dengan kakinya kerana bimbang ular itu akan mematuk kaki Rasulullah saw. Lantaran menahan kesakitan dipatuk ular air matanya terjatuh ke pipi Rasulullah dan baginda terjaga dari tidurnya. Peristiwa pengorbanannya ini tercatat di dalam al Quran dalam Surah At- Taubah, ayat 40.
Sebagai menutup perbicaraan cinta terarah ini, sama-sama kita hayati satu kisah yang sering menyentuh hati setiap manusia yang bergelar umat Muhammad s.a.w. Kisah ini perlu sentiasa disematkan di dalam hati, agar anugerah cinta dari Allah sentiasa terarah ke jalan yang benar, insyaAllah.
Sumber :
Idea asal oleh snm (kredit buat kamu ya ukhti..ini artikel kite bedue yang punye hehe ^_^) dan suntingan oleh PM.
Idea asal oleh snm (kredit buat kamu ya ukhti..ini artikel kite bedue yang punye hehe ^_^) dan suntingan oleh PM.
~menuju cintaNya~
No comments:
Post a Comment