Bismillahir rahmaanir rahiim...
Pada suatu malam Jumaat, Salih Al Mazi pergi ke masjid untuk mengerjakan solat Subuh. Kebiasaannya ia berangkat awal dan melalui sebuah pekuburan. Di situ Salih duduk sebentar sambil berzikir sementara menunggu waktu solat tiba.
Tiba-tiba dia tertidur dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar beramai-ramai dari kubur masing-masing. Mereka duduk dalam kumpulan-kumpulan sambil berbual-bual sesama mereka. Al Mazi ternampak seorang pemuda ahli kubur memakai baju kotor serta tidak berkumpul bersama ahli-ahli kubur yang lain.Dia duduk seorang diri di tepi kuburnya dengan wajah murung, gelisah kerana sedih.
Tidak berapa lama kemudian, datang malaikat membawa beberapa talam yang ditutup dengan sapu tangan. Seolah-olah seperti cahaya yang gemerlapan. Malaikat mendatangi para ahli kubur dengan membawa talam-talam itu, tiap seorang mengambil satu talam dan dibawanya masuk ke dalam kuburnya. Semua ahli kubur mendapat satu talam seorang kecuali si pemuda itu yang tidak mendapat apa-apa.
Dengan perasaan yang sedih dan duka dia bangun dan masuk semula ke dalam kuburnya. Tapi sebelum dia masuk Al Mazi yang bermimpi segera menahannya untuk bertanyakan keadaannya. "Wahai hamba Allah ! Aku lihat engkau terlalu sedih. Mengapa ?" tanya Salih Al Mazi. "Wahai Salih, adakah engkau lihat talam-talam yang dibawa masuk oleh malaikat sebentar tadi?" tanya pemuda itu. "Ya aku melihatnya. Tapi apa di dalam talam-talam itu?" tanya Al Mazi lagi. Si pemuda menerangkan bahawa talam-talam itu berisi hadiah orang-orang yang masih hidup untuk orang-orang yang sudah mati yang terdiri daripada pahala sedekah, bacaan ayat-ayat suci Al Quran dan doa. Hadiah-hadiah itu selalunya datang pada setiap hari Jumaat.
Si pemuda kemudian menerangkan tentang dirinya dengan panjang lebar. Katanya dia mempunyai seorang ibu yang masih hidup. Ibunya telah berkahwin dengan suami baru. Akibatnya dia lupa untuk bersedekah untuk anaknya yang sudah meninggal dunia sehingga tidak ada lagi orang yang mengingati dirinya. Maka sedihlah si pemuda setiap malam dan hari jumaat apabila tidak menerima sebarang hadiah. Al-Mazi sangat kasihan mendengarkan cerita si pemuda lalu ia bertanya nama dan alamat ibunya agar dapat ia sampaikan keadaannya. Si pemuda menerangkan sifat-sifat ibunya. Kemudian Al Mazi terjaga. Pada sebelah paginya Al Mazi terus pergi mencari ibu pemuda tersebut. Setelah berjumpa dengan ibu si pemuda tersebut, beliau lantas menceritakan perihal mimpinya.
Ibu pemuda itu menangis mendengar keterangan Al Mazi mengenai nasib anaknya yang merana di alam barzakh. Kemudian ia berkata: "Wahai Salih ! Memang betul dia adalah anakku. Dialah belahan hatiku, dia keluar dari dalam perutku. Dia membesar dengan minum susu dari dadaku dan ribaanku inilah tempat dia berbaring dan tidur ketika kecilnya." Al Mazi turut sedih melihat keadaan ibu yang meratap dan menangis penuh penyesalan kerana mendoakan anaknya selama ini.
"Kalau begitu saya mohon minta diri dahulu," kata Al Mazi lalu bangun meninggalkan wanita tersebut. Tatkala dia cuba untuk melangkah si ibu menahannya dan berkata, "Wahai Salih, ambil wang ini dan sedekahkanlah untuk anakku, cahaya mataku. InsyaAllah aku tidak akan melupakannya untuk berdoa dan bersedekah untuknya selama aku masih hidup."
Salih Al Mazi mengambil wang itu lalu disedekahkannya kepada fakir miskin sehingga tidak ada dari seribu dirham itu yang tinggal. Pada suatu malam Jumaat selepas peristiwa itu, Al Mazi berangkat ke masjid untuk solat jamaah. Dalam perjalanan sebagaimana biasa ia singgah di perkuburan, ia terlena sebentar dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar dari kubur masing-masing. Si pemuda yang dulunya kelihatan sedih seorang diri kini keluar bersama-sama dengan memakai pakaian putih yang cantik serta wajahnya kelihatan sangat gembira.
Jumaat hari yang mulia |
Pemuda tersebut mendekati Salih Al Mazi seraya berkata : "Wahai tuan Salih, aku ucapkan terima kasih kepadamu. Semoga Allah membalas kebaikanmu itu. " "Hadiah dari ibuku telah ku terima pada hari jumaat." katanya lagi. "Engkau boleh mengetahui hari Jumaat ?" tanya Al Mazi. "Ya, aku tahu." "Apakah tandanya ?" ..."Jika burung-burung di udara berkicau dan berkata "Selamat, selamat pada hari yang baik ini, yakni hari Jumaat." Salih Al Mazi terjaga dari tidurnya.Ia cuba mengingati mimpinya dan merasa gembira kerana si pemuda itu telah mendapat rahmat dari Allah disebabkan sedekah dan doa dari ibunya.
Sumber: Pengalaman Salih Al Mazi. Petikan kisah Wali-Wali Allah (2) terbitan syarikat Nurulhas.
Uqbah B.Aamir menyebutkan bahawa Rasullulah saw bersabda : "Sungguhnya sedekah itu akan mengurangkan kepanasan (seksaan) Kubur daripada yang selalu memberi sedekah; dan hanya sungguhnya seseorang Mu'min itu akan dapat bernaung dibawah naungan sedekahnya di hari Kiamat." (At-Tabraani)
Marilah sama-sama kita doakan kesejahteraan saudara-mara dan sahabat-sahabat kita yang telah meninggal dunia. Semoga ruh mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Ameen.
~menuju cintaNya~
No comments:
Post a Comment