March 8, 2011

Bila rasa nak MARAH...


Bismillah...

Marah itu sifat semulajadi semua manusia. Manusia yang tidak ada sifat marah adalah tidak normal. Marah adalah suatu fitrah yang diperintahkan untuk dididik dan diperbaiki agar akhlak yang mulia dalam diri terpelihara.


PM teringat sebuah pesanan Rasulullah saw tentang marah. Baginda saw bersabda: "Jangan marah", yang diulangi baginda sebanyak tiga kali (Riwayat Bukhari). 

Pengulangan kalimat tersebut mengisyaratkan bahawa pelbagai keburukan akan timbul akibat rasa marah yang tidak dikawal.

Contoh keburukan akibat rasa marah ialah:
- berbicara kotor atau memaki hamun
- mencederakan orang lain atau diri sendiri
- menimbulkan pergaduhan dan perpecahan antara keluarga atau sahabat handai
- mudah mendapat penyakit kronik seperti sakit jantung dan darah tinggi

Ketika marah, apa yang harus anda lakukan? Anda boleh ambil langkah-langkah yang Allah dan rasulNya ajarkan ini agar terselamat daripada melakukan perkara-perkara yang merugikan diri sendiri:

1) Memohon perlindungan daripada Allah swt seperti mengucapkan isti'adzah (a'udzubillahi minasy syaithanirr rajiim)
"Apabila seseorang marah, kemudian mengucapkan isti'adzah, maka marahnya pasti reda." (as-Sahmi dan Ibnu 'Adi)

2) Diam (pasifkan perbuatan atau percakapan)
"Barangsiapa diam, selamatlah diri." (Riwayat At Tirmidzi)

3) Duduk atau berbaring
"Apabila salah seorang di antara kamu marah dalam keadaan berdiri, hendaklah ia duduk. Bila belum juga mereda, hendaklah berbaring." (Riwayat Abu Daud)

4) Mengambil wudhuk atau mandi 
"Dan sesungguhnya syaitan diciptakan daripada api, sedangkan api dapat dipadamkan dengan air. Kerananya, bila salah seorang di antara kamu marah, hendaklah ia berwudhuk." (Riwayat al-Munawi)

5) Berzikir, membaca atau mendengar bacaan ayat al-Quran
"Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang." (Ar-Ra'ad:28)

6) Mengamalkan sujud syukur terutama setiap kali selepas solat fardhu dan solat sunat
"...Siapa sahaja yang merasakan perkara itu (marah), hendaklah ia segera mendekatkan tubuhnya ke tanah (duduk/sujud)." (Riwayat at-Tirmidzi)
Hikmah daripada sujud syukur ialah agar kita segera ingat akan hakikat kejadian kita sebagai hamba yang lemah, yang hanya mampu bersabar dan berserah diri dengan ketentuanNya. 

Jangan marah-marah ya. Senyum-senyumlah selalu.

~menuju cintaNya~

1 comment:

  1. "Tidak ada satu tegukan yang paling besar di sisi Allah swt selain tegukan orang yang menahan marahnya kerana Allah swt." (At Thirmidzi)

    "Orang yang paling kuat yang sebenarnya adalah seseorang yang sedang berada dalam puncak kemarahan, wajahnya memerah dan kulitnya bergetar, tetapi ia mampu meredam marahnya itu." (Ahmad)

    Jom jadi orang kuat!

    ReplyDelete