Bismillahirrahmaanirrahiim...
Para imam Muhaddisin seperti Bukhari, Muslim, An-Nasa'i dan lain-lain adalah di antara pencatat hadis atau sirah nabi saw yang paling teliti dan cermat. Melalui usaha para ulama inilah maka lahirnya suatu kaedah khusus mengenai pencatatan dan pembukuan hadis atau sirah, iaitu ilmu "Qawa'id Mustolah al-Hadis" atau ilmu bagaimana hadis-hadis nabi saw dihimpunkan.
Mustolah al-Hadis sangat mustahak kerana hadis-hadis nabi saw tidak dicatat semasa hayat baginda, sesuai dengan sabda:
"Jangan kamu tulis daripadaku selain al-Quran, barangsiapa telah tulis daripadaku selain al-Quran maka hendaklah ia hapuskan."
Tegahan ini adalah bertujuan untuk menjaga al-Quran dari bercampur dengan sabda nabi saw. Meskipun hadis-hadis tidak dicatat semasa hayat nabi saw, segala hadis atau sunnah itu sentiasa dalam ingatan dan amalan harian para sahabat.
Permulaan pembukuan hadis-hadis nabi saw dilakukan semasa Umar bin Abdul Aziz menjadi Khalifah Kerajaan Bani Umaiyyah (99-101H), melalui Gabenornya Abu Bakar bin Muhammad bin Amru bin Hazam, kerana bimbang hadis-hadis nabi saw akan pupus dengan matinya para ulama.
Berikut ialah pembahagian taraf hadis Nabi saw dengan menggunakan kaedah Mustolah al-Hadis:
1) Hadis Mutawatir
Hadis perbuatan, perkataan atau pengakuan(taqrir) yang diketahui oleh beberapa orang sampai kepada bilangan mutawatir, iaitu bilangan yang tidak mungkin pada fikiran kita bahawa mereka telah bermuafakat berbuat dusta tentang perkhabaran.
2) Hadis Mustafidh
Hadis yang diriwayatkan dari tiga sanad yang berlainan, atau hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang atau lebih, sehingga terdapat sekurang-kurangnya tiga sanad yang berlainan.
3) Hadis Sahih
Hadis yang berhubung sanad dari permulaan hingga akhirnya, dan orang yang menjadi periwayatnya mempunyai sifat-sifat seperti adil, dhabit(pengingat/teliti), sejahtera dari keganjilan, sejahtera dari kecacatan yang memburukkan hadis.
4) Hadis Hasan Sahih
Hadis yang mempunyai dua martabat iaitu "Hasan" dan "Sahih".
5) Hadis Dha'if
Hadis yang tidak mempunyai syarat hadis "Hasan" atau "Sahih".
6) Hadis Marfu'
Hadis yang disandarkan kepada nabi saw, sama ada perkataan, perbuatan atau taqrir yang berhubung sanadnya.
7) Hadis Mauquf
Fatwa atau perkataan sahabat nabi saw sendiri yang disampaikan kepada kita.
8) Hadis Mursal
Perkataan seorang tabi'in (yang sudah tentu tidak bertemu nabi saw).
9) Hadis Muttasil
Hadis yang berhubung sanadnya, yakni bagi tiap-tiap periwayatnya mendengar terus dari orang-orang yang meriwayatkan kepadanya sehingga sampai kepada nabi atau sahabat.
10) Hadis Mahfuz
Hadis yang terpelihara; iaitu periwayatnya merupakan orang yang dipercayai, yang tidak menyalahi golongan kepercayaan yang lain daripadanya dengan menokok tambah atau mengurang.
11) Hadis Jayyid
Hadis yang dikatakan baik dan sahih oleh ahli-ahli hadis.
12) Hadis Mujawwad
Hadis yang meliputi hadis "Hasan" atau "Sahih".
13) Hadis Maudhu'
Hadis atau perkataan seseorang yang dikatakan hadis nabi saw, padahal ia bukan hadis malah palsu.
~menuju cintaNya~
No comments:
Post a Comment