August 17, 2011

Nuzul Al-Quran


Bismillahirrahmaanirrahiim...

Antara peristiwa agung dalam sejarah umat Islam di bulan Ramadan ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul Quran. ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan.


Peristiwa Nuzul Quran dirakamkan melalui firman Allah di dalam Surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud:
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” 

Terdapat banyak pendapat berkenaan tarikh berlakunya peristiwa Nuzul Quran iaitu pada:
#17 Ramadan
#24 Ramadhan,
#7 Ramadhan
#18 Ramadhan

Kepelbagaian pandangan para ulama’ dalam membincangkan tarikh Nuzul Al-Quran membuktikan keprihatinan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap Al-Qur’an Al-Karim. Rujuk penjelasan berkenaan tarikh-tarikh ini di sini.

Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar yang dikurniakan kepada Nabi saw. Di dalamnya terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya. Kita wajib beriman dengan kandungan Al-Quran sebagaimana yang tergaris dalam Rukun Iman yang ketiga.

Adakah anda tahu bahawa terdapat lima (5) tuntutan Al-Quran ke atas umat Islam untuk dilaksanakan iaitu:

1- Membaca al-Quran. 
Jangan kosong hari-hari kita dengan tilawah al-Quran.Sepatutnya tidak timbul lagi kisah para amilin tidak membaca al-Quran.Ini adalah asas. Ruh dan nyawa kita.

2- Membaca terjemahan al-Quran. 
Kita ini bukan bangsa Arab yang memahami bahasa al-Quran. Oleh itu, perlu kita membaca terjemahan al-Quran supaya kita mendapat pengetahuan daripada apa yang kita baca.

3- Membaca tafsir al-Quran. 
Ertinya huraian-huraian setiap ayat al-Quran. Tidak memadai terjemahan kerana terdapat ayat yang perlu kepada keterangan tertentu.Berapa ramai umat Islam membaca al-Quran tetapi selalu menentang perintah al-Quran. Antara sebabnya kerana tidak memahami apa yang dibaca.

4- Tadabbur al-Quran. 
Tadabbur ertinya merenung, mengkaji, meneliti dan seumpamanya.Biasanya kalau kita membaca satu buku, kita bukan semata-mata mahu membaca, dan kemudian habis begitu saja. Tetapi kita mahu maklumat, ilmu pengetahuan dan sebagainya.Begitulah sepatutnya dengan al-Quran. Ramai umat Islam rajin baca al-Quran tapi tidak mahu mengambil manfaat ilmu pengetahuan darinya.Ramai yang baca hanya sekadar mahu pahala baca, tidak mahu faham dan meneliti ayat al-Quran.

5- Istiqamah dengan al-Quran. 
Istiqamah baca, seterusnya istiqamah beramal dengan perintah al-Quran. Perintah dan larangan. Mengambil manfaat dengan peristiwa yang diceritakan di dalamnya.Berdoalah kepada Allah mudah-mudahan kita diberikan kekuatan untuk melaksanakan kelima-lima tuntutan berkenaan.

Sumber:

Sama-sama kita beramal dengan al-Quran, insyaAllah.
~menuju cintaNya~

No comments:

Post a Comment