Bismillahir rahmanir rahiim...
Wahai sahabatku yang budiman, apakah yang diharapkan lagi daripada seseorang yang tidak mampu menjaga lidahnya sendiri? Walhal seseorang itu akan memiliki kekuatan dalam berkata-kata sekiranya setiap pertuturan dan lisannya benar-benar dijaga dengan baik.
Apakah ciri-ciri lisan yang terjaga?
1) Setiap kata-kata dijamin kebenarannya, tidak ada penipuan, tidak berlebihan atau terkurang.
2) Setiap kata-kata yang dikeluarkannya benar-benar sesuai dan sopan, tepat dengan situasi dan keadaan yang sepatutnya.
3) Setiap patah katanya tidak melukai hati atau menjadi beban perasaan bagi orang lain.
4) Setiap butir kata haruslah penuh makna dan bermanfaat bagi yang mendengarnya.
Mahasuci Allah yang telah memberikan kita lisan. Sungguh beruntung bagi seseorang yang boleh menjaga lisannya dengan baik. Setiap bicara dipastikan jujur dan benar. Setiap untaian kata yang keluar pula menjadi motivasi kepada diri sendiri dan orang lain ke arah perubahan positif.
Terdapat perumpamaan yang boleh dimuhasabahkan bersama iaitu; "Mulut kita ini seperti corong teko. Teko hanya akan mengeluarkan isi yang ada. Kalau di dalamnya air bersih, yang keluar bersih. Kalau di dalamnya air kotor, yang keluar pun kotor." Mulut menandakan darjat dan hati seseorang. Kita boleh mengenali peribadi seseorng hanya dari apa yang diucapkannya.
Allah swt berfirman dalam surah Ibrahim, ayat 24 dan 25: "Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun."
Malah Rasulullah saw juga pernah bersabda:
Dari Mu’az bin Jabal ra dia berkata : Aku berkata : Ya Rasulullah, khabarkan aku tentang perbuatan yang dapat memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkanku dari neraka. Baginda bersabda: Engkau telah bertanya tentang sesuatu yang besar, dan perkara tersebut mudah bagi mereka yang dimudahkan Allah Ta’ala: Beribadah kepada Allah dan tidak menyekutukanNya sedikitpun, menegakkan solat, menunaikan zakat, puasa Ramadhan dan pergi haji. Kemudian baginda saw bersabda: Mahukah engkau aku khabarkan tentang pintu-pintu syurga?; Puasa adalah benteng, Sedekah akan mematikan (menghapus) kesalahan sebagaimana air mematikan api, dan solatnya seseorang di tengah malam (qiamullail). Kemudian baginda membacakan ayat (yang bermaksud): “Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya….”. Kemudian baginda bersabda: Mahukah kalian aku khabarkan pokok dari segala perkara, tiangnya dan puncaknya? Aku menjawab: Mahu ya Nabi Allah. Pokok perkara adalah Islam, tiangnya adalah Solat dan puncaknya adalah Jihad. Kemudian beliau bersabda : Mahukah kalian aku khabarkan sesuatu (yang jika kalian laksanakan) kalian dapat memiliki semua itu? Aku berkata : Mahu ya Rasulullah. Maka Rasulullah memegang lisannya lalu bersabda: Jagalah ini (dari perkataan kotor/buruk). Aku berkata: Ya Nabi Allah, apakah kita akan dihukum juga atas apa yang kita bicarakan? Baginda bersabda: Adakah yang menyebabkan seseorang terjungkil wajahnya di neraka, selain buah dari yang diucapkan oleh lisan-lisan mereka.
(Riwayat at-Tharmidzi)
Orang yang berkualiti, jika berbicara sarat dengan manfaat, dan jika diajak berbicara mengundang hikmah. Sebaliknya, orang yang tidak berkualiti, setiap bicaranya adalah keaiban, sibuk menceritakan keburukan orang lain dan segala peristiwa di sekelilingnya dengan selitan cacian dan makian.
Seseorang itu akan mampu menjaga lisan jika disertai dengan ilmu dan kesungguhan melatih diri. Dengan ilmu, seseorang akan lebih hati-hati ketika hendak berbicara. Semakin banyak berbicara, maka semakin banyak tenaga yang terbuang dan semakin berisiko untuk tergelincir kepada dosa. Bahkan rasa hormat orang lain terhadapnya akan runtuh akibat kecuaian ini.
Sahabatku, jangan biarkan lidahmu tergelincir. Jadikan diam sebagai kebaikan, daripada berkata yang mendatangkan kemudharatan. Rasulullah saw bersabda:
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia mengatakan sesuatu yang baik atau diam.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Bersempena dengan kedatangan bulan yang penuh barakah ini yakni bulan Ramadhan, marilah bersama kita memperindah lisan dengan perkataan yang baik dan menggembirakan. Semoga Allah SWT sentiasa memberikan hidayah, sehingga lidah kita terbiasa berzikir menyebut Asma'-Nya. Latih diri bersabar dan menahan kemarahan agar terhindar dari mengatakan perkara keji apatah menghina atau menjatuhkn orang lain. Nau'zubillah. InsyaAllah.
Idea asal:
~menuju cintaNya~
No comments:
Post a Comment