September 7, 2011

Sirah Nabawiyyah (3): Urwah Bin Zubair-Penulis Terawal Sirah


Bismillahirrahmaanirrahiim...

Kebanyakan ahli sejarah mendapati bahawa kemungkinan besar orang yang mula-mula menukilkan sirah Nabi saw ialah Urwah bin Zubair (meninggal 92H). Ini menunjukkan bahawa pembukuan sirah Nabi saw telah dilakukan lebih 2000 tahun yang lalu.

Pencatatan hadis pada zaman Nabi saw sebenarnya ditangguhkan apabila baginda memerintahkan supaya tidak menulis selain al-Quran sehinggalah suatu keadaan yang tenang dicapai. 

Suatu keadaan tenang yang dirasai oleh Nabi saw ialah apabila baginda sudah benar-benar yakin bahawa para sahabat sudah cukup mahir dari segi memahami uslub dan kaedah bahasa al-Quran, sehingga tidak mungkin ia boleh bercampur antara sabda Nabi saw dengan ayat al-Quran, sekalipun diletakkan dua catatan antara hadis dan al-Quran secara bersama, para sahabat masih dapat membezakan antara keduanya.

Apabila keadaan tenang ini dicapai, penulisan hadis-hadis Nabi saw dilakukan secara serius atas arahan Nabi saw sendiri yang mengkehendaki supaya ia dilakukan dengan teliti dan sempurna.

Adapun penulisan sejarah Nabi saw dan perjuangan baginda secara umumnya, adalah terlewat jauh masanya berbanding dengan penulisan yang dilakukan terhadap hadis-hadis Nabi saw. Bagaimanapun sejarah Nabi dari sudut perbualan dan perbincangan dari mulut ke mulut adalah sentiasa berlegar di kalangan para sahabat sejak awal kehidupan mereka bersama Nabi saw yang sentiasa seiring dalam perjuangan baginda mengembangkan Islam.




~menuju cintaNya~

August 24, 2011

Sirah Nabawiyyah (2): Mustolah Al-Hadis


Bismillahirrahmaanirrahiim...

Para imam Muhaddisin seperti Bukhari, Muslim, An-Nasa'i dan lain-lain adalah di antara pencatat hadis atau sirah nabi saw yang paling teliti dan cermat. Melalui usaha para ulama inilah maka lahirnya suatu kaedah khusus mengenai pencatatan dan pembukuan hadis atau sirah, iaitu ilmu "Qawa'id Mustolah al-Hadis" atau ilmu bagaimana hadis-hadis nabi saw dihimpunkan.

Mustolah al-Hadis sangat mustahak kerana hadis-hadis nabi saw tidak dicatat semasa hayat baginda, sesuai dengan sabda:
"Jangan kamu tulis daripadaku selain al-Quran, barangsiapa telah tulis daripadaku selain al-Quran maka hendaklah ia hapuskan."

Tegahan ini adalah bertujuan untuk menjaga al-Quran dari bercampur dengan sabda nabi saw. Meskipun hadis-hadis tidak dicatat semasa hayat nabi saw, segala hadis atau sunnah itu sentiasa dalam ingatan dan amalan harian para sahabat. 

Permulaan pembukuan hadis-hadis nabi saw dilakukan semasa Umar bin Abdul Aziz menjadi Khalifah Kerajaan Bani Umaiyyah (99-101H), melalui Gabenornya Abu Bakar bin Muhammad bin Amru bin Hazam, kerana bimbang hadis-hadis nabi saw akan pupus dengan matinya para ulama.

Berikut ialah pembahagian taraf hadis Nabi saw dengan menggunakan kaedah Mustolah al-Hadis:

1) Hadis Mutawatir 
Hadis perbuatan, perkataan atau pengakuan(taqrir) yang diketahui oleh beberapa orang sampai kepada bilangan mutawatir, iaitu bilangan yang tidak mungkin pada fikiran kita bahawa mereka telah bermuafakat berbuat dusta tentang perkhabaran.

2) Hadis Mustafidh
Hadis yang diriwayatkan dari tiga sanad yang berlainan, atau hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang atau lebih, sehingga terdapat sekurang-kurangnya tiga sanad yang berlainan.

3) Hadis Sahih
Hadis yang berhubung sanad dari permulaan hingga akhirnya, dan orang yang menjadi periwayatnya mempunyai sifat-sifat seperti adil, dhabit(pengingat/teliti), sejahtera dari keganjilan, sejahtera dari kecacatan yang memburukkan hadis.

4) Hadis Hasan Sahih
Hadis yang mempunyai dua martabat iaitu "Hasan" dan "Sahih".

5) Hadis Dha'if 
Hadis yang tidak mempunyai syarat hadis "Hasan" atau "Sahih".

6) Hadis Marfu'
Hadis yang disandarkan kepada nabi saw, sama ada perkataan, perbuatan atau taqrir yang berhubung sanadnya.

7) Hadis Mauquf
Fatwa atau perkataan sahabat nabi saw sendiri yang disampaikan kepada kita.

8) Hadis Mursal
Perkataan seorang tabi'in (yang sudah tentu tidak bertemu nabi saw).

9) Hadis Muttasil
Hadis yang berhubung sanadnya, yakni bagi tiap-tiap periwayatnya mendengar terus dari orang-orang yang meriwayatkan kepadanya sehingga sampai kepada nabi atau sahabat.

10) Hadis Mahfuz
Hadis yang terpelihara; iaitu periwayatnya merupakan orang yang dipercayai, yang tidak menyalahi golongan kepercayaan yang lain daripadanya dengan menokok tambah atau mengurang.

11) Hadis Jayyid
Hadis yang dikatakan baik dan sahih oleh ahli-ahli hadis.

12) Hadis Mujawwad
Hadis yang meliputi hadis "Hasan" atau "Sahih".

13) Hadis Maudhu'
Hadis atau perkataan seseorang yang dikatakan hadis nabi saw, padahal ia bukan hadis malah palsu.


~menuju cintaNya~

August 23, 2011

Sirah Nabawiyyah: Kenapa Perlu Tahu?


Bismillahirrahmaanirrahim...

Sirah Nabawiyyah atau dalam bahasa adalah disebut sejarah/perincian hidup berkenaan Rasulullah saw. Di dalam buku Sirah Nabawiyyah- Insan Teladan Sepanjang Zaman ada menghuraikan beberapa kepentingan mempelajari sirah Nabawiyyah. Antara kepentingan tersebut ialah untuk:

1- Mendalami ajaran Islam
Islam ialah satu ajaran melalui wahyu Allah swt, ia tidak akan dapat difahami oleh kebanyakan manusia jika tidak ada contoh yng dapat dilihat. Nabi saw bukan sahaja sebagai pentafsir wahyu Allah, malah menjadi model yang menggambarkan hakikat al-Quran itu sendiri. 

2- Memahami peranan taufiq dalam kehidupan nabi saw
Nabi Muhammad saw mendapat sokongan penuh dan taufiq dari Allah swt. Hal ini bererti, Allah telah menyelaraskan segala gerak kerja, sikap dan pemikiran, tuturkata dan diam nabi saw. Bahkan segala-galanya adalah suatu yang telah diprojekkan oleh Allah untuk nabi saw menghadapi tugas besar sebagai Rasul. 

3- Menerima hakikat bahawa nabi saw adalah contoh ikutan terbaik
Antara tujuan Allah mengirimkan RasulNya ke dunia ini supaya manusia seluruhnya dapat menemui gambaran yang paling sempurna dalam tiap-tiap bidang kehidupan, melalui contoh terbaik yang terdapat dalam diri Nabi Muhammad saw. Sebelum manusia dapat melihat perlembagaan bertulis di mana-mana di dunia ini, maka pada diri Rasulullah saw itu merupakan perlembagaan yang bergerak. 

4- Memperoleh sokongan padu dalam mentafsir kandungan Al-Quran
Begitu banyak ayat al-Quran yang hanya dapat ditafsir dan dijelaskan oleh isu-isu dan situasi yang berlaku di zaman nabi saw, terutamanya sikap dan pendirian nabi sendiri adalah dirujuk untuk suatu penjelasan terhadap isu dan keadaan tersebut (yakni pada zaman nabi saw) bagi mendapatkan tafsiran sebenar. Oleh itu, adalah sukar bagi seseorang untuk memahami al-Quran sekiranya mereka tidak mempelajari sirah Rasul saw, meskipun mereka menguasai bahasa Arab. 

5- Memastikan keadilan dan kemanusiaan dalam peperangan
Strategi peperangan yang diatur oleh nabi saw mengandungi pelbagai kaedah yang mengutamakan kemanusiaan, yang menjamin dan memelihara alam sekitar. Orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak adalah golongan yang mendapat jaminan selamat dari senjata tentera Islam. Demikian juga larangan terhadap pemusnahan rumah-rumah ibadat, pokok-pokok dan persekitaran. 

6- Sirah Nabawiyyah sebagai paksi sejarah dunia
Sirah Nabi Muhammad saw merupakan paksi yang asas dalam gerakan sejarah yang agung, menjadi satu kemuliaan kepada kaum muslimin walaupun berlainan bahasa dan negara. Jika diperhatikan dengan mendalam sebarang peristiwa besar yang berlaku di dunia sehingga kini, kita akan dapati bahawa ia berputar dalam lingkungan sama ada kerana menyokong ajaran nabi saw ataupun menentangnya. Contohnya krisis di rantau Balkan, Bosnia; penawanan Kuwait oleh Iraq; dan krisis di Palestin. 

7- Menzahirkan kebejatan jahiliyyah dan keindahan Islam
Penglibatan umat Islam dalam bidang penulisan ialah dimulai dengan pencatatan sejarah, iaitu tidak tertakluk kepada penulisan sejarah Islam sahaja, bahkan termasuk juga sejarah jahiliyyah. Tujuan mereka menulis sejarah jahiliyyah itu ialah untuk menjadi perbandingan betapa keji dan buruknya budaya hidup kaum jahiliyyah sebelum kedatangan Nabi Muhammad saw. Suasana keji hasil dari kehidupan manusia tanpa bimbingan wahyu, sungguh lebih menyerlahkan lagi pemerhatian umat manusia terhadap ajaran Islam. Dengan perbandingan itu, sudah pasti kebaikan dan keindahan Islam yang dibawa oleh nabi saw semakin jelas.



Buku: Sirah Nabawiyyah- Insan Teladan Sepanjang Zaman...menyuburkan kecintaan ummah kepada sunnah Rasulullah saw. 
Penulis: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Penerbit: Nufair Street Sdn. Bhd
Harga: SeM RM29.90 Sbh/Srwk RM32.90
Jumlah muka surat: 544

~menuju cintaNya~