Showing posts with label Sirah/Seerah. Show all posts
Showing posts with label Sirah/Seerah. Show all posts

September 7, 2011

Sirah Nabawiyyah (3): Urwah Bin Zubair-Penulis Terawal Sirah


Bismillahirrahmaanirrahiim...

Kebanyakan ahli sejarah mendapati bahawa kemungkinan besar orang yang mula-mula menukilkan sirah Nabi saw ialah Urwah bin Zubair (meninggal 92H). Ini menunjukkan bahawa pembukuan sirah Nabi saw telah dilakukan lebih 2000 tahun yang lalu.

Pencatatan hadis pada zaman Nabi saw sebenarnya ditangguhkan apabila baginda memerintahkan supaya tidak menulis selain al-Quran sehinggalah suatu keadaan yang tenang dicapai. 

Suatu keadaan tenang yang dirasai oleh Nabi saw ialah apabila baginda sudah benar-benar yakin bahawa para sahabat sudah cukup mahir dari segi memahami uslub dan kaedah bahasa al-Quran, sehingga tidak mungkin ia boleh bercampur antara sabda Nabi saw dengan ayat al-Quran, sekalipun diletakkan dua catatan antara hadis dan al-Quran secara bersama, para sahabat masih dapat membezakan antara keduanya.

Apabila keadaan tenang ini dicapai, penulisan hadis-hadis Nabi saw dilakukan secara serius atas arahan Nabi saw sendiri yang mengkehendaki supaya ia dilakukan dengan teliti dan sempurna.

Adapun penulisan sejarah Nabi saw dan perjuangan baginda secara umumnya, adalah terlewat jauh masanya berbanding dengan penulisan yang dilakukan terhadap hadis-hadis Nabi saw. Bagaimanapun sejarah Nabi dari sudut perbualan dan perbincangan dari mulut ke mulut adalah sentiasa berlegar di kalangan para sahabat sejak awal kehidupan mereka bersama Nabi saw yang sentiasa seiring dalam perjuangan baginda mengembangkan Islam.




~menuju cintaNya~

August 24, 2011

Sirah Nabawiyyah (2): Mustolah Al-Hadis


Bismillahirrahmaanirrahiim...

Para imam Muhaddisin seperti Bukhari, Muslim, An-Nasa'i dan lain-lain adalah di antara pencatat hadis atau sirah nabi saw yang paling teliti dan cermat. Melalui usaha para ulama inilah maka lahirnya suatu kaedah khusus mengenai pencatatan dan pembukuan hadis atau sirah, iaitu ilmu "Qawa'id Mustolah al-Hadis" atau ilmu bagaimana hadis-hadis nabi saw dihimpunkan.

Mustolah al-Hadis sangat mustahak kerana hadis-hadis nabi saw tidak dicatat semasa hayat baginda, sesuai dengan sabda:
"Jangan kamu tulis daripadaku selain al-Quran, barangsiapa telah tulis daripadaku selain al-Quran maka hendaklah ia hapuskan."

Tegahan ini adalah bertujuan untuk menjaga al-Quran dari bercampur dengan sabda nabi saw. Meskipun hadis-hadis tidak dicatat semasa hayat nabi saw, segala hadis atau sunnah itu sentiasa dalam ingatan dan amalan harian para sahabat. 

Permulaan pembukuan hadis-hadis nabi saw dilakukan semasa Umar bin Abdul Aziz menjadi Khalifah Kerajaan Bani Umaiyyah (99-101H), melalui Gabenornya Abu Bakar bin Muhammad bin Amru bin Hazam, kerana bimbang hadis-hadis nabi saw akan pupus dengan matinya para ulama.

Berikut ialah pembahagian taraf hadis Nabi saw dengan menggunakan kaedah Mustolah al-Hadis:

1) Hadis Mutawatir 
Hadis perbuatan, perkataan atau pengakuan(taqrir) yang diketahui oleh beberapa orang sampai kepada bilangan mutawatir, iaitu bilangan yang tidak mungkin pada fikiran kita bahawa mereka telah bermuafakat berbuat dusta tentang perkhabaran.

2) Hadis Mustafidh
Hadis yang diriwayatkan dari tiga sanad yang berlainan, atau hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang atau lebih, sehingga terdapat sekurang-kurangnya tiga sanad yang berlainan.

3) Hadis Sahih
Hadis yang berhubung sanad dari permulaan hingga akhirnya, dan orang yang menjadi periwayatnya mempunyai sifat-sifat seperti adil, dhabit(pengingat/teliti), sejahtera dari keganjilan, sejahtera dari kecacatan yang memburukkan hadis.

4) Hadis Hasan Sahih
Hadis yang mempunyai dua martabat iaitu "Hasan" dan "Sahih".

5) Hadis Dha'if 
Hadis yang tidak mempunyai syarat hadis "Hasan" atau "Sahih".

6) Hadis Marfu'
Hadis yang disandarkan kepada nabi saw, sama ada perkataan, perbuatan atau taqrir yang berhubung sanadnya.

7) Hadis Mauquf
Fatwa atau perkataan sahabat nabi saw sendiri yang disampaikan kepada kita.

8) Hadis Mursal
Perkataan seorang tabi'in (yang sudah tentu tidak bertemu nabi saw).

9) Hadis Muttasil
Hadis yang berhubung sanadnya, yakni bagi tiap-tiap periwayatnya mendengar terus dari orang-orang yang meriwayatkan kepadanya sehingga sampai kepada nabi atau sahabat.

10) Hadis Mahfuz
Hadis yang terpelihara; iaitu periwayatnya merupakan orang yang dipercayai, yang tidak menyalahi golongan kepercayaan yang lain daripadanya dengan menokok tambah atau mengurang.

11) Hadis Jayyid
Hadis yang dikatakan baik dan sahih oleh ahli-ahli hadis.

12) Hadis Mujawwad
Hadis yang meliputi hadis "Hasan" atau "Sahih".

13) Hadis Maudhu'
Hadis atau perkataan seseorang yang dikatakan hadis nabi saw, padahal ia bukan hadis malah palsu.


~menuju cintaNya~

August 17, 2011

Nuzul Al-Quran


Bismillahirrahmaanirrahiim...

Antara peristiwa agung dalam sejarah umat Islam di bulan Ramadan ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul Quran. ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan.


Peristiwa Nuzul Quran dirakamkan melalui firman Allah di dalam Surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud:
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” 

Terdapat banyak pendapat berkenaan tarikh berlakunya peristiwa Nuzul Quran iaitu pada:
#17 Ramadan
#24 Ramadhan,
#7 Ramadhan
#18 Ramadhan

Kepelbagaian pandangan para ulama’ dalam membincangkan tarikh Nuzul Al-Quran membuktikan keprihatinan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap Al-Qur’an Al-Karim. Rujuk penjelasan berkenaan tarikh-tarikh ini di sini.

Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar yang dikurniakan kepada Nabi saw. Di dalamnya terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya. Kita wajib beriman dengan kandungan Al-Quran sebagaimana yang tergaris dalam Rukun Iman yang ketiga.

Adakah anda tahu bahawa terdapat lima (5) tuntutan Al-Quran ke atas umat Islam untuk dilaksanakan iaitu:

1- Membaca al-Quran. 
Jangan kosong hari-hari kita dengan tilawah al-Quran.Sepatutnya tidak timbul lagi kisah para amilin tidak membaca al-Quran.Ini adalah asas. Ruh dan nyawa kita.

2- Membaca terjemahan al-Quran. 
Kita ini bukan bangsa Arab yang memahami bahasa al-Quran. Oleh itu, perlu kita membaca terjemahan al-Quran supaya kita mendapat pengetahuan daripada apa yang kita baca.

3- Membaca tafsir al-Quran. 
Ertinya huraian-huraian setiap ayat al-Quran. Tidak memadai terjemahan kerana terdapat ayat yang perlu kepada keterangan tertentu.Berapa ramai umat Islam membaca al-Quran tetapi selalu menentang perintah al-Quran. Antara sebabnya kerana tidak memahami apa yang dibaca.

4- Tadabbur al-Quran. 
Tadabbur ertinya merenung, mengkaji, meneliti dan seumpamanya.Biasanya kalau kita membaca satu buku, kita bukan semata-mata mahu membaca, dan kemudian habis begitu saja. Tetapi kita mahu maklumat, ilmu pengetahuan dan sebagainya.Begitulah sepatutnya dengan al-Quran. Ramai umat Islam rajin baca al-Quran tapi tidak mahu mengambil manfaat ilmu pengetahuan darinya.Ramai yang baca hanya sekadar mahu pahala baca, tidak mahu faham dan meneliti ayat al-Quran.

5- Istiqamah dengan al-Quran. 
Istiqamah baca, seterusnya istiqamah beramal dengan perintah al-Quran. Perintah dan larangan. Mengambil manfaat dengan peristiwa yang diceritakan di dalamnya.Berdoalah kepada Allah mudah-mudahan kita diberikan kekuatan untuk melaksanakan kelima-lima tuntutan berkenaan.

Sumber:

Sama-sama kita beramal dengan al-Quran, insyaAllah.
~menuju cintaNya~

July 25, 2011

Muslimat (1) Bai'atul 'Aqabah: Nusaibah binti Ka'ab (Ummu Umarah)


Bismillahir rahmaanir rahiim...

Nusaibah Binti Ka’ab Al-Ansariyyah atau lebih dikenali dengan nama Ummu Umarah adalah  salah satu contoh wanita agung yang mempunyai keberanian yang tinggi pada setiap waktu dan ketika. Beliau merupakan pahlawan wanita yang tidak pernah alpa dalam melaksanakan kewajipannya. Semua perkara yang dilakukannya adalah semata-mata untuk memperoleh kemuliaan di sisi Allah S.W.T. di dunia dan akhirat. 

Nusaibah adalah salah seorang wanita yang telah turut serta bergabung dengan 70 orang lelaki Ansar yang ingin berbai’at kepada Rasulullah S.A.W dalam bai’at Aqabah. Beliau bersama dengan suaminya Zaid Bin Ahsim dan dua orang puteranya Hubaib (yang telah dibunuh oleh Musailamah setelah itu) dan Abdullah (perawi hadis wuduk) telah membuat janji setia kepada Rasulullah S.A.W. Ummu Umarah merupakan seorang wanita yang berani, pandai menjaga harga diri, jujur dan rajin. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah sendiri ketika dia membuat bai’at. Baginda bersabda maksudnya : "Janganlah mengalirkan darah dengan sia-sia.”

Gambar hiasan

PAHLAWAN WANITA ANSAR

Ibnu Sa’ad telah memberikan gambaran indah mengenai Ummu Umarah di dalam kitabnya Thabaqat yang berbunyi seperti berikut : "Ummu Umarah telah masuk Islam, dia telah menghadiri malam perjanjian Aqabah dan berbai’at kepada Rasulullah S.A.W. Dia juga turut serta dalam Perang Uhud, Perjanjian Hudaibiyah, Umrah Qadha’, Perang Hunain, Perang Yamamah di mana tangannya terpotong, serta pendengar hadis Rasulullah S.A.W ."

Nusaibah atau Ummu Umarah menceritakan sendiri pengalamannya ketika perang Uhud. Sebagaimana diungkapkan oleh Ibnu Sa’ad katanya : "Pada permulaan siang, saya pergi ke Uhud dan saya melihat apa yang dilakukan orang. Pada waktu itu saya membawa bekas yang berisi air. Kemudian saya sampai kepada Rasulullah S.A.W. yang berada di tengah-tengah para sahabat. Ketika kaum muslimin mengalami kekalahan, saya melindungi Rasulullah S.A.W, kemudian ikut serta ke medan pertempuran. Saya berusaha melindungi Rasulullah S.A.W. dengan pedang, saya juga menggunakan panah sehingga akhirnya saya terluka.”

Ketika Said bin Ibnu Rabi menanyakan kepadanya luka yang dilihat dibelakangnya, bagaimana kisahnya sehingga terjadi demikian. Ummu Umarah lalu menjawab, "Ibnu Qumaiah datang ingin menyerang baginda, ketika para sahabat sudah meninggalkan Rasulullah S.A.W." Lalu ia berkata, "Tunjukkan aku di mana Muhammad, aku tidak akan selamat selagi dia masih hidup,” lalu Mushab bin Umair dengan beberapa orang sahabat termasuk saya menghadapinya. "Kemudian Ibnu Qumaiah memukulku."

Imam Az-Azahabi berkata, "Dia adalah wanita yang utama dan pejuang dari kalangan Ansar, Khazraj, Najjar, Mazin dan sebagai orang Madinah. Saudaranya Abdullah bin Ka’ab termasuk kelompok para sahabat yang ikut dalam perang Badar. Begitu juga saudaranya Abdul Rahman termasuk orang yang suka menangis.”

Al-Waqidi berkata : "Ummu Umarah ikut serta dalam perang Uhud bersama-sama dua orang anaknya dari suaminya yang pertama. Ia keluar untuk memberi minum dengan membawa qirbah atau bekas air yang buruk. Ia juga ikut berperang dan mendapat cubaan yang baik sehingga mendapat dua belas kesan luka ditubuhnya ".

Imam Az-Azahabi meriwayatkan darinya bahawa dia berkata : "Saya mendengar Rasulullah berkata : Sesungguhnya kedudukan Nusaibah pada hari ini lebih baik dari kedudukan fulan dan fulan.”

RASULULLAH S.A.W. MENDOKAN UMMU UMARAH DAN ANAKNYA

Imam Az-Azahabi dari Abdullah bin Zaid bin Ahsim ia berkata : "Saya mengikuti perang Uhud, maka ketika para sahabat meninggalkan Rasulullah S.A.W., saya dan ibu saya mendekati baginda untuk melindunginya : "Mana Ummu Umarah?” Saya menjawab, "Ya, wahai Rasulullah, ” Baginda bersabda : "Lemparkanlah. ” Saya pun melemparkan sebiji batu kepada yang sedang menunggang kuda di hadapan mereka. Akhirnya batu itu mengenai mata kuda. Kemudian saya tindih orang itu dengan batu dan Rasulullah melihatnya sambil tersenyum.

Baginda juga telah melihat luka ibuku di belakangnya, baginda bersabda, "Ibumu, ibumu…balutlah lukanya. Ya Allah, jadikanlah mereka sahabat saya di syurga. " Mendengar itu ibuku berkata : " Aku tidak hirau lagi apa yang menimpaku dari urusan dunia ini ."

Demikianlah keberanian yang terlihat dalam diri Ummu Umarah yang telah mengibarkan panji-panji Islam. Dia berusaha sekuat dayanya untuk melindungi dan membela Rasulullah S.A.W. Ummu Umarah telah berjuang dan terluka dalam perang Uhud sebanyak 12 tempat di tubuhnya dan kemudiannya kembali ke Madinah dengan luka-luka perjuangan tersebut. Kemudian dia turut serta bersama Rasulullah S.A.W. untuk menunaikan Bai’atur Ridhwan, satu janji setia untuk sanggup mati syahid di jalan Allah S.W.T.

Mudah-mudahan Allah S.W.T. mengurniakan limpah rahmat kepada Ummu Umarah dengan rahmat yang luas dan menyambutnya dengan keredhaanNya yang agung. Ameen.

Sumber:

~menuju cintaNya~