Showing posts with label Teladan/Lesson. Show all posts
Showing posts with label Teladan/Lesson. Show all posts

August 8, 2011

Salahudin Ayubi

Bismillahir rahmanirrahiim...

Keperibadian Sang Penakluk Jerusalem pada 1187M bersamaan 583H:

1) Jiwa yang tenang
2) Pemikir yang bijak dan kritis
3) Cekap menunggang kuda dan bermain senjata
4) Warak, zuhud, hidup bersederhana
5) Menjadi contoh kepada orang bawahannya
6) Cintakan topik jihad
7) Gemar berpuasa menjelang peperangan (walaupun sedang sakit)
8) Memerintahkan orang bawahannya berlaku lembut dan adil terhadap rakyat
9) Sayangkan tanah air
10) Beriman dan bertaqwa
11) Membantu orang miskin , peminta sedekah dan pembela agama
12) Membela golongan tertindas.
13) Membersihkan golongan pentadbir atasan daripada korupsi
14) Seorang ketua/pemerintah yang dihormati dan disayangi
15) Suka duduk/menginap di khemah tentera berbanding di tempat yang lebih selesa
16) Diberi gelaran `Muiz Amirul Mukminin' (Pemerintah yang Mulia) 
17) Memenangi setiap pertempuran dengan musuh
18) Sangat pemurah kerana gemar memberi sedekah dan hadiah



Sumber: 
Salahudin Ayubi (Abdul Latip Talib)

Umat menantikan kemunculan Penakluk Jerusalem@Palestin akhir zaman...

~menuju cintaNya~

June 29, 2011

Israk Mikraj: Untuk Wanita


Bismillahir rahmaanir rahiim...

PERISTIWA ISRAK MIKRAJ BERKENAAN WANITA

Usamah bin Zaid menceritakan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah golongan miskin dan orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain daripada itu ahli neraka diperintahkan masuk ke dalam neraka, dan aku berdiri di atas pintu neraka, aku lihat kebanyakan yang masuk ke dalam neraka adalah perempuan.”

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya aku saksikan kebanyakan ahli neraka adalah perempuan.”

Rasulullah s.a.w. ditanya, mengapa ya Rasulullah? Baginda s.a.w. menjawab: “Perempuan mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsannya, Jika engkau membuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia belum berpuas hati dan cukup.” (Riwayat Bukhari) 

Sayidina Ali ra berkata: “Saya dengan Fatimah pergi menghadap Rasulullah s.a.w. Kami dapati baginda sedang menangis, lalu kami bertanya kepadanya, apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?”

Baginda s.a.w. menjawab: “Pada malam aku diisrak hingga ke langit, di sana aku melihat perempuan dalam keadaan amat dahsyat. Dengan sebab itu aku menangis mengenangkan azab yang diterima mereka.”

Ali bertanya: “Apakah yang ayahanda lihat di sana?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dicurah ke dalam halkumnya (tekak).

“Aku lihat perempuan yang digantung kedua-dua kakinya terikat, tangannya diikat ke ubun-ubunnya, didatangkan ular dan kala. Aku lihat perempuan yang memakan dagingnya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Aku lihat perempuan mukanya hitam dan memakan tali perutnya sendiri. “Aku lihat perempuan yang telinga pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar daripada lubang hidung, badan bau busuk kerana penyakit kusta dan sopak.

“Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar dengan pelbagai kesengsaraan dihadapinya. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, mulut dan pelepasnya (punggung). Malaikat memukulnya dengan corong api neraka.”


Saidatina Fatimah ra pun bertanya kepada ayahandanya: “Ayahanda yang dikasihi, beritakanlah kepada anakanda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan itu?”

Rasulullah s.a.w. menjawab: “Fatimah, adapun perempuan tergantung rambutnya itu adalah perempuan yang tidak menutup rambut daripada bukan muhrimnya. Perempuan tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya.

“Perempuan yang digantung susunya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa izin suaminya. Perempuan kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya.

“Perempuan tidak mahu mandi daripada suci haid dan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang.

“Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain.

“Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi junub.

“Perempuan kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan rupanya seperti anjing ialah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya.

Seterusnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Perempuan yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya, pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkuknya.”

Abu Bakar as-Sidik mengatakan, aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Perempuan menggunakan lidah untuk menyakiti hati suaminya ia akan dilaknat dan kemurkaan Allah.”

Rasulullah saw bersabda : "Barangsiapa yang mencontohkan sesuatu (supaya diikuti oleh orang lain) yang baik dalam Islam, maka ia mendapatkan pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya setelahnya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Barangsiapa yang mencontohkan sesuatu tidak baik dalam Islam, maka ia mendapat dosanya dan dosa orang yang mengamalkan setelahnya, tanpa mengurangi dosa-dosa mereka." (Riwayat Muslim)

KEUTAMAAN MENUTUP AIB (KESALAHAN)

Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah Azza wa Jalla.
(Sahih al-Hakim, hadis no: 7615)

Sesungguhnya seorang penguasa, apabila dia mencari-cari kesalahan rakyatnya, bererti dia merosakkan mereka. (Sahih Abu Daud, hadis no: 4889) 

Sesiapa yang menutupi (kesalahan) seorang muslim maka Allah menutupinya di dunia dan akhirat. (Sahih Ibn Majah, hadis 2078)

Sumber:

KESIMPULAN

# Menutup aurat yakni aurat zahir (pada tubuh badan) dan aib (aib org lain dan aib sendiri)
# Menjaga lidah daripada berkata-kata dusta, fitnah dan menyakiti hati orang khususnya suami sendiri.
#Tutuplah aib orang lain, maka Allah akan menutup aibmu
# Yang menutup aibmu bukan orang lain, tetapi Allah
#Sesiapa yang Allah tutup aibnya, tetapi dia dengan sendiri membuka aibnya kepada orang lain, maka taubatnya tidak akan diterima (murka Allah terhadapnya sangat besar)

Wallahu'alam

Marilah bersama menjadi lebih baik. 
~menuju cintaNya~

June 10, 2011

"Oklah kalau macam tu, I maafkanlah you"


Ibn Abi Al-Dunya menyebutkan dalam kitab “Husnu al-Zan Billah” sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya:

“Ketika Rasulullah SAW sedang duduk pada suatu hari, tiba-tiba aku melihat baginda tertawa sehingga kelihatan gigi tengahnya.

Lalu dikatakan kepada baginda: Mengapakah engkau tertawa ya Rasulullah?

Baginda bersabda: Ada dua orang lelaki dari umatku berlutut di hadapan Tuhanku Yang Maha Agung,

lalu salah seorangnya berkata:Wahai Tuhanku, ambillah untukku penganiayaan terhadapku dari saudaraku ini.

Lalu Allah berfirman: Berikan kepada saudaramu penganiayaannya.

Saudaranya menjawab: Wahai Tuhanku, aku sudah tidak memiliki apa-apa kebajikan lagi.

Saudaranya yang menuntut berkata: Wahai Tuhanku, biarlah dia menanggung dosa-dosaku.

Di saat itu mengalirlah air mata Rasulullah SAW.

Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya hari itu benar-benar hari yang manusia mahukan supaya dosa-dosa mereka ditanggung oleh orang lain.

Kemudian Allah berfirman kepada orang yang menuntut haknya itu: Angkatlah pandanganmu dan lihatlah kepada syurga-syurga itu.

Lalu dia pun mengangkat pandangannya lalu nampaklah dia kebaikan dan kenikmatan yang membuatkannya terpegun.

Lantas dia bertanya: Untuk siapakah semua ini hai Tuhanku?

Allah menjawab: Untuk orang yang sanggup membayar kepadaKu akan harganya.

Orang itu bertanya: Siapakah yang mampu untuk membayar harganya?

Allah berfirman: Kamulah orangnya.

Katanya: Dengan apa?

Kata Allah: Dengan cara engkau memaafkan saudaramu.

Dia menjawab: Sesungguhnya aku telah memaafkannya.

Allah berfirman: Peganglah tangan saudaramu dan bawakan dia masuk ke syurga.

Kemudian Rasulullah SAW bersabda lagi: Bertawakallah kamu kepada Allah dan perbaikilah hubungan sesama kamu kerana sesungguhnya nanti Allah akan memperbaiki hubungan antara orang-orang mukmin pada hari kiamat.”

Maafkanlah saudaramu...

(Mattan dan sanad hadis dipetik daripada buku Pustaka Ilmi: “Detik-detik cemas di Padang Mahsyar” Penyusun Muhammad Ramzi Omar m/s 203-204)

~tukang taip~

May 29, 2011

Allah Tidak Kedekut


Bismillahir rahmaanir rahiim...

Pernahkah anda merasa semput yang bukan semput sembarangan malah semput baget?


1: “ Aik, minggu lepas baru aje gaji. Apasal poket dah start kosong? Poket aku bocor ke? Oh,  rim kereta bengkok! Adeii,  semput aku, semput. Pinjam duit mak dulu la nampak gaye.”

2: “Aku keje tukang sapu aje. Anak 10. Tapi dapat sekolahkan anak sampai universiti. Bos aku ni pulak, gaji 10 kali ganda dari aku.  Anak sorang aje, tapi tak cukup juga nak bagi anak ke universiti. Bulan-bulan semput aje bajetnye.”

Mengapakah berlakunya perkara sebegini?

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Pagi tadi aku pergi ke masjid untuk solat dhuha, melalui laluan alternatif (pintu belakang). Kedengaran suara makcik-makcik sedang bersembang, dan bunyi-bunyi renyutan plastik. Sesampai sahaja aku di ruangan lapang hadapan pintu, kelihatan tiga orang makcik 'cleaner' yang sedang makan secara berjemaah.

“Eh, mari makan, mari,mari makan,” sapa makcik-makcik itu sambil melambai-lambaikan tangan mengajakku datang dekat. 

“Tak ape la makcik, makcik makan la. Takpe… hihi…,” balasku menggangguk-anguk beserta senyuman. Aku menolak sopan ajakan mereka. Kakiku terus maju ke arah pintu masuk masjid. 

“Makan dulu, baru sembahyang. Mari, mari minum ni,” kata makcik-makcik itu lagi.  Aku memberhentikan langkah tanda akur, lalu merapati mereka. Sebaik sahaja aku melabuhkan punggung, seorang makcik membuka bekas makanan untuk diberikan kepadaku. Seorang makcik lagi menuang air Nescafe yang suam-suam panas kedalam gelasnya untuk diberikan kepadaku. Dengan penuh segan aku menjamah hidangan yang dihulurkan. "Rezeki dari Allah," bisikku sendirian. Syukur.

“Ya Allah, saya pula yang makan minum.”

“Tak apelah makan roti ni…”

(…makan dan bersembang…)

Selesai makan, kuangkat bekas makanan dan gelas untuk dibasuh tetapi dilarang oleh makcik-makcik itu. 

“Tinggalkan aje di sini” keluar dari mulut ketiga-tiga makcik itu.

Aku cuba meneruskan niat namun tewas.  Sekali lagi membuatkan aku segan. Setelah itu aku mengucapkan terima kasih dan meminta izin masuk ke ruangan solat. Dalam hati, aku mendoakan kesejahteraan mereka bertiga. "Ya Allah, murahkanlah rezeki makcik-makcik ini, ameen."

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Pengalaman ini membuatkan aku berasa sangat terharu. Air mata tidak dapat ditahan lagi. Ingatan rindu terhadap mak di kampung menerjah tiba-tiba.


Hamparkan pancaindara, jom 'extract' nilai-nilai murni dari cerita-cerita ini~

Diriwayatkan dari Wahsyi bin Harb dari bapanya dari atuknya bahawa ia berkata:

“Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami kalau makan tidak merasa kenyang. Beliau bersabda: “Barangkali kamu makan sendiri-sendiri”. Mereka menjawab: “Benar wahai Rasulullah”. Beliau bersabda: “Berkumpullah ketika makan dan sebutlah nama Allah Ta’ala (Bismillah)! Niscaya Dia akan memberkati makanan kamu”.
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, Baihaqi, Ibnu Majah dan Hakim)


Dari Umar bin Khattab r.a bahawa ia berkata: “Rasulullah saw bersabda:
“Makanlah dengan berkumpul dan jangan sendiri-sendiri! Makanan satu orang cukup untuk dua orang, makanan dua orang cukup untuk tiga atau empat orang. Makanlah dengan berkumpul dan jangan sendiri sendiri! Kerana berkat itu ada dalam Jama’ah."
(Soheh Al Jame’ hadis no 1687)

Rasulullah saw bersabda: 
Makanan yang paling disukai Allah adalah makanan yang dijamah banyak tangan”. 
(Riwayat Abu Ya’la, Ibnu Hibban, Baihaqi dan Adh Dhiya)

Usah resah jika anda tidak dapat pangkat tinggi, gaji tinggi walaupun sudah berusaha gigih kerana kadang-kadang Allah mahu memberi sesuatu yang istimewa seperti nikmat ingin memberi. 

Sumber ihsan dari snm (kredit buat kamu lagi ^_^), 
dari blog,
dan suntingan oleh PM.

~menuju cintaNya~

May 12, 2011

Mimpi Al Mazi


Bismillahir rahmaanir rahiim...


Pada suatu malam Jumaat, Salih Al Mazi pergi ke masjid untuk mengerjakan solat Subuh. Kebiasaannya ia berangkat awal dan melalui sebuah pekuburan. Di situ Salih duduk sebentar sambil berzikir sementara menunggu waktu solat tiba. 

Tiba-tiba dia tertidur dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar beramai-ramai dari kubur masing-masing. Mereka duduk dalam kumpulan-kumpulan sambil berbual-bual sesama mereka. Al Mazi ternampak seorang pemuda ahli kubur memakai baju kotor serta tidak berkumpul bersama ahli-ahli kubur yang lain.Dia duduk seorang diri di tepi kuburnya dengan wajah murung, gelisah kerana sedih.

Tidak berapa lama kemudian, datang malaikat membawa beberapa talam yang ditutup dengan sapu tangan. Seolah-olah seperti cahaya yang gemerlapan. Malaikat mendatangi para ahli kubur dengan membawa talam-talam itu, tiap seorang mengambil satu talam dan dibawanya masuk ke dalam kuburnya. Semua ahli kubur mendapat satu talam seorang kecuali si pemuda itu yang tidak mendapat apa-apa. 

Dengan perasaan yang sedih dan duka dia bangun dan masuk semula ke dalam kuburnya. Tapi sebelum dia masuk Al Mazi yang bermimpi segera menahannya untuk bertanyakan keadaannya. "Wahai hamba Allah ! Aku lihat engkau terlalu sedih. Mengapa ?" tanya Salih Al Mazi. "Wahai Salih, adakah engkau lihat talam-talam yang dibawa masuk oleh malaikat sebentar tadi?" tanya pemuda itu. "Ya aku melihatnya. Tapi apa di dalam talam-talam itu?" tanya Al Mazi lagi. Si pemuda menerangkan bahawa talam-talam itu berisi hadiah orang-orang yang masih hidup untuk orang-orang yang sudah mati yang terdiri daripada pahala sedekah, bacaan ayat-ayat suci Al Quran dan doa. Hadiah-hadiah itu selalunya datang pada setiap  hari Jumaat.

Si pemuda kemudian menerangkan tentang dirinya dengan panjang lebar. Katanya dia mempunyai seorang ibu yang masih hidup. Ibunya telah berkahwin dengan suami baru. Akibatnya dia lupa untuk bersedekah untuk anaknya yang sudah meninggal dunia sehingga tidak ada lagi orang yang mengingati dirinya. Maka sedihlah si pemuda setiap malam dan hari jumaat apabila tidak menerima sebarang hadiah. Al-Mazi sangat kasihan mendengarkan cerita si pemuda lalu ia bertanya nama dan alamat ibunya agar dapat ia sampaikan keadaannya. Si pemuda menerangkan sifat-sifat ibunya. Kemudian Al Mazi terjaga. Pada sebelah paginya Al Mazi terus pergi mencari  ibu pemuda tersebut. Setelah berjumpa dengan ibu si pemuda tersebut, beliau lantas menceritakan perihal mimpinya.

Ibu pemuda itu menangis mendengar keterangan Al Mazi mengenai nasib anaknya yang merana di alam barzakh. Kemudian ia berkata: "Wahai Salih ! Memang betul dia adalah anakku. Dialah belahan hatiku, dia keluar dari dalam perutku. Dia membesar dengan minum susu dari dadaku dan ribaanku inilah tempat dia berbaring dan tidur ketika kecilnya." Al Mazi turut sedih melihat keadaan ibu yang meratap dan menangis penuh penyesalan kerana mendoakan anaknya selama ini.

"Kalau begitu saya mohon minta diri dahulu," kata Al Mazi lalu bangun meninggalkan wanita tersebut. Tatkala dia cuba untuk melangkah si ibu menahannya dan berkata, "Wahai Salih, ambil wang ini dan sedekahkanlah untuk anakku, cahaya mataku. InsyaAllah aku tidak akan melupakannya untuk berdoa dan bersedekah untuknya selama aku masih hidup."

Salih Al Mazi mengambil wang itu lalu disedekahkannya kepada fakir miskin sehingga tidak ada dari seribu dirham itu yang tinggal. Pada suatu malam Jumaat selepas peristiwa itu, Al Mazi berangkat ke masjid untuk solat jamaah. Dalam perjalanan sebagaimana biasa ia singgah di perkuburan, ia terlena sebentar dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar dari kubur masing-masing. Si pemuda yang dulunya kelihatan sedih seorang diri kini keluar bersama-sama dengan memakai pakaian putih yang cantik serta wajahnya kelihatan sangat gembira.

Jumaat hari yang mulia

Pemuda tersebut mendekati Salih Al Mazi seraya berkata : "Wahai tuan Salih, aku ucapkan terima kasih kepadamu. Semoga Allah membalas kebaikanmu itu. " "Hadiah dari ibuku telah ku terima pada hari jumaat." katanya lagi. "Engkau boleh mengetahui hari Jumaat ?" tanya Al Mazi. "Ya, aku tahu." "Apakah tandanya ?" ..."Jika burung-burung di udara berkicau dan berkata "Selamat, selamat pada hari yang baik ini, yakni hari Jumaat." Salih Al Mazi terjaga dari tidurnya.Ia cuba mengingati mimpinya dan merasa gembira kerana si pemuda itu telah mendapat rahmat dari Allah disebabkan sedekah dan doa dari ibunya.
Sumber: Pengalaman Salih Al Mazi. Petikan kisah Wali-Wali Allah (2) terbitan syarikat Nurulhas. 

Uqbah B.Aamir menyebutkan bahawa Rasullulah saw bersabda : "Sungguhnya sedekah itu akan mengurangkan kepanasan (seksaan) Kubur daripada yang selalu memberi sedekah; dan hanya sungguhnya seseorang Mu'min itu akan dapat bernaung dibawah naungan sedekahnya di hari Kiamat." (At-Tabraani)

Marilah sama-sama kita doakan kesejahteraan saudara-mara dan sahabat-sahabat kita yang telah meninggal dunia. Semoga ruh mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Ameen.

~menuju cintaNya~