Showing posts with label Buku/Book. Show all posts
Showing posts with label Buku/Book. Show all posts

August 23, 2011

Sirah Nabawiyyah: Kenapa Perlu Tahu?


Bismillahirrahmaanirrahim...

Sirah Nabawiyyah atau dalam bahasa adalah disebut sejarah/perincian hidup berkenaan Rasulullah saw. Di dalam buku Sirah Nabawiyyah- Insan Teladan Sepanjang Zaman ada menghuraikan beberapa kepentingan mempelajari sirah Nabawiyyah. Antara kepentingan tersebut ialah untuk:

1- Mendalami ajaran Islam
Islam ialah satu ajaran melalui wahyu Allah swt, ia tidak akan dapat difahami oleh kebanyakan manusia jika tidak ada contoh yng dapat dilihat. Nabi saw bukan sahaja sebagai pentafsir wahyu Allah, malah menjadi model yang menggambarkan hakikat al-Quran itu sendiri. 

2- Memahami peranan taufiq dalam kehidupan nabi saw
Nabi Muhammad saw mendapat sokongan penuh dan taufiq dari Allah swt. Hal ini bererti, Allah telah menyelaraskan segala gerak kerja, sikap dan pemikiran, tuturkata dan diam nabi saw. Bahkan segala-galanya adalah suatu yang telah diprojekkan oleh Allah untuk nabi saw menghadapi tugas besar sebagai Rasul. 

3- Menerima hakikat bahawa nabi saw adalah contoh ikutan terbaik
Antara tujuan Allah mengirimkan RasulNya ke dunia ini supaya manusia seluruhnya dapat menemui gambaran yang paling sempurna dalam tiap-tiap bidang kehidupan, melalui contoh terbaik yang terdapat dalam diri Nabi Muhammad saw. Sebelum manusia dapat melihat perlembagaan bertulis di mana-mana di dunia ini, maka pada diri Rasulullah saw itu merupakan perlembagaan yang bergerak. 

4- Memperoleh sokongan padu dalam mentafsir kandungan Al-Quran
Begitu banyak ayat al-Quran yang hanya dapat ditafsir dan dijelaskan oleh isu-isu dan situasi yang berlaku di zaman nabi saw, terutamanya sikap dan pendirian nabi sendiri adalah dirujuk untuk suatu penjelasan terhadap isu dan keadaan tersebut (yakni pada zaman nabi saw) bagi mendapatkan tafsiran sebenar. Oleh itu, adalah sukar bagi seseorang untuk memahami al-Quran sekiranya mereka tidak mempelajari sirah Rasul saw, meskipun mereka menguasai bahasa Arab. 

5- Memastikan keadilan dan kemanusiaan dalam peperangan
Strategi peperangan yang diatur oleh nabi saw mengandungi pelbagai kaedah yang mengutamakan kemanusiaan, yang menjamin dan memelihara alam sekitar. Orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak adalah golongan yang mendapat jaminan selamat dari senjata tentera Islam. Demikian juga larangan terhadap pemusnahan rumah-rumah ibadat, pokok-pokok dan persekitaran. 

6- Sirah Nabawiyyah sebagai paksi sejarah dunia
Sirah Nabi Muhammad saw merupakan paksi yang asas dalam gerakan sejarah yang agung, menjadi satu kemuliaan kepada kaum muslimin walaupun berlainan bahasa dan negara. Jika diperhatikan dengan mendalam sebarang peristiwa besar yang berlaku di dunia sehingga kini, kita akan dapati bahawa ia berputar dalam lingkungan sama ada kerana menyokong ajaran nabi saw ataupun menentangnya. Contohnya krisis di rantau Balkan, Bosnia; penawanan Kuwait oleh Iraq; dan krisis di Palestin. 

7- Menzahirkan kebejatan jahiliyyah dan keindahan Islam
Penglibatan umat Islam dalam bidang penulisan ialah dimulai dengan pencatatan sejarah, iaitu tidak tertakluk kepada penulisan sejarah Islam sahaja, bahkan termasuk juga sejarah jahiliyyah. Tujuan mereka menulis sejarah jahiliyyah itu ialah untuk menjadi perbandingan betapa keji dan buruknya budaya hidup kaum jahiliyyah sebelum kedatangan Nabi Muhammad saw. Suasana keji hasil dari kehidupan manusia tanpa bimbingan wahyu, sungguh lebih menyerlahkan lagi pemerhatian umat manusia terhadap ajaran Islam. Dengan perbandingan itu, sudah pasti kebaikan dan keindahan Islam yang dibawa oleh nabi saw semakin jelas.



Buku: Sirah Nabawiyyah- Insan Teladan Sepanjang Zaman...menyuburkan kecintaan ummah kepada sunnah Rasulullah saw. 
Penulis: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Penerbit: Nufair Street Sdn. Bhd
Harga: SeM RM29.90 Sbh/Srwk RM32.90
Jumlah muka surat: 544

~menuju cintaNya~

August 15, 2011

Negeri 5 Menara


Bismillahirrahmaanirrahiim...

Hari ini PM ingin berkongsi mengenai salah sebuah buku favourite koleksi peribadi PM. Bagi sesetengah orang, tengok atau dengar sahaja tajuknya semacam kurang menarik. Tetapi sesungguhnya buku ini sangat memikat hati PM dan terasa sangat berbaloi memilikinya. 

Ditakdirkan PM menemui buku ini sewaktu berjalan-jalan di MPH Book Store, Alamanda pada April lalu bersama housemate tersayang untuk mencari bacaan bulanan. Kaki meluru laju ke destinasi sambil dalam hati bertanya pada Kekasih hati, buku manakah yang harus dibeli. Tiba-tiba mata terpancing ke arah buku ini - `Negeri 5 Menara'.


Terus sahaja tangan mencapai buku yang terletak di rak teratas di salah satu rak ruangan Novel. Jasad buku dibelek. "Hmm, tebal juga." Merungut, tetapi tetap percaya dengan pilihanNya.

Bahagian belakang buku PM tatap. Ingin menangkap pembayang bagi elemen nilai tinggi yang menjadikan ia bestseller di negara seberang. Antara sinopsisnya:

`Pada hari pertama di Pondok Madani (PM) -"Ahha, ade nama akulah! hehe", Alif terkesima dengan `mantera sakti' man jadda wa jada. Sesiapa yang bersungguh-sungguh, dia pasti berjaya- "Memang biasa dengar ni". Dipertemukan dengan hukuman denda di asrama, -"Eksklusif, sebab cerita pasal kehidupan budak sekolah pondok." Alif bersahabat dengan Raja dari Medan, Said dari Surabaya, Dulmajid dari Sumenep, Atang dari Bandung dan Baso dari Goa. - "Kisah persahabatan, suke ni." ....jangan pernah meremehkan impian, walau setinggi apa pun. Tuhan sungguh Maha Mendengar.' -"Setuju dengan kata-kata ni."

Tanpa berfikir panjang, PM terus ke kaunter untuk mengehakmilikkan buku ini. 

Setiap hujung minggu yang lapang, tentu sahaja dipenuhi dengan usaha mengkhatamkan`Negeri 5 Menara'. Buku ini ditulis bukan dengan bahasa Melayu, tetapi menggunakan bahasa Indonesia standard, namun PM selesa mengikuti setiap patah perkataan yang disusun. Kagum benar  PM dengan kekuatan sastera yang dimiliki A. Fuadi. Pengolahan jalan cerita begitu unik. Masakan tidak, ayatnya kadang-kadang skema tetapi lucu, juga santai tetapi tepat. Subhanallah. Seronok. Begitu mengasyikkan. Khusyuk PM dibuatnya.

Setelah tamat membaca, boleh tahan jugalah halaman-halaman yang dilipat PM rupanya,  kerana terpana dek kata-kata penuh inspirasi nukilan penulis yang menghiasi kandungan novel berharga ini. Antaranya ialah:

"Man shabara zhafira. Siapa yang bersabar akan beruntung. Jangan risaukan penderitaan hari ini, jalani sahaja dan lihatlah apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Sebab yang kita tuju bukan sekarang, tetapi ada yang lebih besar dan asas, iaitu menjadi manusia yang menemukan misinya dalam hidup." 

"Seandainya kalian mahu sesuatu dan mahu menjadi sesuatu, jangan hanya bermimpi dan berdoa, tetapi berbuatlah, berubahlah, lakukan saat ini juga. Sekarang juga!"

Bersemangat bukan? Ada banyak lagi `kejutan' dalam buku yang menjadi kesayangan PM ini. Kalau nak tahu, kena bacalah. PM jamin tidak akan mengecewakan, insyaAllah.


Tajuk: Negeri 5 Menara
Penulis: A. Fuadi
Terbitan: PTS Litera Utama Sdn. Bhd
Harga: SeM RM20.00 Sbh/Srwk RM23.00

Selamat membaca. Enjoy it! Mudah-mudahan bermanfaat =)
~menuju cintaNya~

August 8, 2011

Salahudin Ayubi

Bismillahir rahmanirrahiim...

Keperibadian Sang Penakluk Jerusalem pada 1187M bersamaan 583H:

1) Jiwa yang tenang
2) Pemikir yang bijak dan kritis
3) Cekap menunggang kuda dan bermain senjata
4) Warak, zuhud, hidup bersederhana
5) Menjadi contoh kepada orang bawahannya
6) Cintakan topik jihad
7) Gemar berpuasa menjelang peperangan (walaupun sedang sakit)
8) Memerintahkan orang bawahannya berlaku lembut dan adil terhadap rakyat
9) Sayangkan tanah air
10) Beriman dan bertaqwa
11) Membantu orang miskin , peminta sedekah dan pembela agama
12) Membela golongan tertindas.
13) Membersihkan golongan pentadbir atasan daripada korupsi
14) Seorang ketua/pemerintah yang dihormati dan disayangi
15) Suka duduk/menginap di khemah tentera berbanding di tempat yang lebih selesa
16) Diberi gelaran `Muiz Amirul Mukminin' (Pemerintah yang Mulia) 
17) Memenangi setiap pertempuran dengan musuh
18) Sangat pemurah kerana gemar memberi sedekah dan hadiah



Sumber: 
Salahudin Ayubi (Abdul Latip Talib)

Umat menantikan kemunculan Penakluk Jerusalem@Palestin akhir zaman...

~menuju cintaNya~